Sejarah Proton Prevé

Proton memulakan operasi pada tahun 1985 sebagai pengeluar kenderaan Mitsubishi yang mengalami kejuruteraan lencana. Kereta Proton terjual dengan banyaknya kerana mereka memanfaatkan kejuruteraan dan kebolehpercayaan kereta Mitsubishi yang begitu bagus. Walau bagaimanapun, pada awal abad ke-21, Proton mara ke hadapan dengan memperkenalkan model-model rekaan sendiri seperti Proton Waja dan Proton Gen-2. Malangnya, model-model generasi seterusnya daripada Proton sering dikritik hebat kerana mutu kejuruteraan yang kurang baik.[4][5] Akibatnya, pasaran Proton di Malaysia merosot dengan ketara pada awal 2000an, serta mencapai tahap terendah dalam tempoh 7 tahun pada tahun 2007.[6] Sebagai tindak balas, pembangunan Proton Prevé (di bawah kod nama P3-21A) dimulakan pada tahun 2009 di bawah pimpinan Pengarah Urusan Proton pada masa itu, Datuk Seri Syed Zainal Abidin. Bekas Naib Presiden R&D Pengurusan Kualiti BMW, Dr. Wolfgang Karl Epple juga dilantik pada tahun yang sama sebagai Pengarah Kualiti Proton. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kanan Operasi Kumpulan, di mana beliau menyumbang kepada pembangunan projek P3-21A.[7][8]

Proton Tuah, kereta konsep yang direka oleh Italdesign Giugiaro telah dipamerkan semasa Pertunjukan Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010. Ia mempratontonkan pelbagai unsur rekaan serta ciri-ciri yang terdapat pada Proton P3-21A akan datang.[9] Pembangunan P3-21A selesai setahun kemudian dan pengeluaran mengambil tempat di kilang Proton di Tanjung Malim. Syarikat tersebut mendakwa 94% bahagian kereta adalah buatan tempatan sebagai usaha bagi mengurangkan aliran keluar modal.[10] Nama rasmi Proton Prevé hanya didedahkan beberapa hari sebelum pelancarannya.[11]

Konsep Proton Tuah 2010

Proton Prevé akhirnya dilancarkan pada 16 April 2012 di Seri Kembangan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Razak.[12][13] Ia dilancarkan dengan enam pilihan warna serta tiga varian, iaitu Executive MT, Executive CVT dan Premium CVT. Kedua-dua varian Executive digerakkan oleh enjin 1.6L CamPro IAFM+ Proton. Executive MT digandingkan dengan transmisi manual 5 kelajuan manakala Executive CVT dilengkapi CVT 6 kelajuan.[14] Varian Premium dilengkapi enjin turbo 1.6L CamPro CFE yang lebih berkuasa, digandingkan dengan CVT 7 kelajuan, dikenali sebagai ProTronic, iaitu transmisi manumatik versi Proton.[14] Dari segi keselamatan, varian Executive dilengkapi beg udara SRS berkembar serta sistem brek cegah kunci (ABS) dengan pengagihan daya brek elektronik (EBD), manakala varian Premium menawarkan tambahan dua beg udara tepi, bantuan brek (BA), kawalan cengkaman (TCS) dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) sebagai tambahan daripada apa yang ditawarkan pada varian Executive.[13] Varian Premium juga menampilkan kit eksklusif seperti penukar gear padel pada stereng, lampu kepala dan pengelap cermin automatik, pengawal luncur, pengawal iklim, unit kepala skrin sesentuh terbina dalam dengan Bluetooth, USB & keupayaan sambungan iPod di samping suis penghidup tekan. Kesemua Proton Prevé dilengkapi sistem Paparan Maklumat Pintar (SID) yang memaparkan maklumat seperti penggunaan bahan api purata, jangka hayat bateri serta jarak sebelum tangki kosong. Satu lagi ciri standard ialah WiFi dalam kereta, hasil kerjasama antara Proton dengan ISP WiMAX Malaysia, Yes 4G. Harga Prevé adalah antara RM59,540 hingga RM72,990.[12] Ia menerima lebih daripada 11,000 tempahan dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran rasminya dan menjadi kereta ketujuh paling laris di Malaysia pada bulan Mei 2012, mendahului semua pesaing dalam kategorinya.[15][16]

Kereta Konsep Proton Prevé Sapphire 2012

Kereta Konsep Proton Prevé Sapphire turut dipamerkan semasa majlis pelancaran.[17] Ia dibangunkan oleh Proton Design sebagai usaha untuk menunjukkan potensi pasaran dan teknikal Prevé. Ia menampilkan catan logam pistol pusam unik sebagai tambahan kepada bampar hadapan dan belakang yang diubahsuai serta dilengkapi penyerlah saduran krom, skirt tepi dan roda aloi 18 inci. Bahagian dalaman menampilkan panel kuning air serta kemasan kulit untuk menambahkan tarikan kemewahan, dan tinggi kereta serta brek juga diubahsuai. 3 bulan berikutnya, Proton mengumumkan Kereta Konsep Proton Prevé R3 semasa Kejuaraan Rali Asia Pasifik 2012 di Malaysia.[18] Ia dipasang dengan kit badan baru berharga RM3,000 dengan penggayaan oleh bahagian Proton Race, Rally, Research (R3) di samping roda R3 pilihan serta tayar prestasi. Pada 8 Oktober 2012, Proton mendedahkan kereta lumba Prevé R3.[19] Ia digerakkan oleh enjin CamPro IAFM+ 107kk serta menampilkan pengubahsuaian dalaman dan luaran. Ia kemudian bertanding dalam Perlumbaan Ketahanan 1,000 km Sepang 2012 pada Disember tahun tersebut, di mana ia memperoleh tempat kedua di belakang Proton Satria Neo R3 dan menewaskan Toyota Corolla Altis Type R Racing Team.[20]

Prevé membuat kemunculan sulungnya di Australia pada 18 Oktober 2012 semasa Pertunjukan Kereta Antarabangsa Australia 2012.[21] Hanya varian CamPro IAFM+ sahaja yang ditawarkan semasa pelancaran di Australia, dengan model CamPro CFE turbo dijadualkan untuk dilancarkan pada pertengahan 2013. Prevé diperkenalkan di pasaran Thailand semasa Ekspo Kereta Antarabangsa Thailand pada 28 November 2012.[22] Ia ditala supaya boleh menggunakan bahan api E20, dan unit kepala skrin sesentuh 1-DIN Blaupunkt yang diperbaharui turut ditawarkan pada varian Premium. Sebagai tambahan, varian Standard berorientasikan bajet diperkenalkan di Thailand, dengan harga yang jauh lebih rendah daripada varian Executive.[23][24] Brunei menjadi pasaran eksport ketiga yang menerima Prevé pada 7 Februari 2013, di mana ia boleh didapati dalam tiga varian.[25] Prevé juga menerima pelancaran yang kurang ghairah di Singapura pada suku pertama tahun 2013, di mana ia ditawarkan dalam dua varian.[26][27] Pada 13 Jun 2013, Indonesia dijadikan pasaran eksport yang keempat bagi Prevé, di mana ia hanya dijual dalam satu versi mewah.[28][29]

Proton Prevé dirancang untuk dilancarkan pada tahun 2013 di United Kingdom.[30] Prototaip Prevé pandu kiri juga berjaya dirakam pada Mei 2012, menunjukkan kemungkinan pelancaran akan datang di China dan Timur Tengah.[31]

Rujukan

WikiPedia: Proton Prevé http://www.ancap.com.au/pdf/516.PDF http://www.caradvice.com.au/231533/proton-preve-re... http://www.goauto.com.au/mellor/mellor.nsf/story2/... http://protonpreve.com.au/pricing-specs/ http://www.protonpreve.com.au/ http://www.themotorreport.com.au/55267/proton-prev... http://www.infrastructure.gov.au/roads/safety/publ... http://www.protonchile.cl/preve.php http://www.autoevolution.com/news/proton-tuah-conc... http://www.bangkokpost.com/auto/autoreview/332951/...